Nota Aluan

Selamat bertamu ke blog Ulas & Kupas. Blog ini dibangunkan bagi membicarakan tentang buku untuk kebaikan kita bersama. Ulasan dan kupasan di sini adalah pandangan peribadi saya. Mungkin ada yang akan bersetuju dan mungkin lebih ramai lagi yang tidak bersetuju dengan pandangan saya ini. Tidak mengapa, kita raikan perbezaan pandangan secara sihat dan membina. Sama-sama kita hormati pandangan orang lain dan berpeganglah kepada adab berbeza pandangan. Teruskan membaca kerana ianya santapan minda anda!

Selasa, 2 Oktober 2007

Biografi Tokoh Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan: 1408-1426H / 1987-2005M


Penulis: Zulkiple Abd. Ghani, Muhamad Arifin, Mohamed Asin Dollah, W. Mohd Azam Mohd Amin, Mahmood Zuhdi Hj. Ab. Majid, Muhd Yusof Ibrahim, Ali Yakub Matondang, Haji Elias Zakaria, Ab Aziz Mohd Zin, Norrodzoh @ Norraudah Hj. Siren, Norhayati Haji Hamzah, Siti Fatimah Abdul Rahman, Wan Ali Wan Jusoh, Abd. Samat Musa, Abdul Halim El-Muhammady, Marzuki Haji Mahmood, Abdullah @ Alwi Haji Hassan dan Mohd Nasir Omar (tidak dikreditkan pada kulit hadapan)
Penerbit: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Tahun: 2006
Halaman: 559
Harga: Tidak dinyatakan pada kulit (mendapat naskhah hadiah)
Genre: Bukan fiksyen, biografi
Pengantar: Bahasa Malaysia


Sinopsis:

Umat Islam khususnya di Malaysia ingin mengetahui maklumat terperinci tentang Tokoh Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan, sumbangan dan pengorbanan mereka sehingga mereka dipilih oleh Kerajaan Malaysia.

Sudah sampai masanya ketokohan mereka ini didokumenkan sebagai rujukan kepada dunia terutama umat Islam.

1408-1426H / 1987-2005M:
  • Al-Syeikh Muhammad Idris bin Abdul Rauf al-Marbawi
  • Prof. Tan Sri Datuk Ahmad bin Mohamed Ibrahim
  • Tan Sri Dato' S.O.K. Ubaidulla bin Kadir Basha
  • Tan Sri Prof. Dr. Ahmad Muhammad Abd Al-Ra'uf
  • Tan Sri Dato' Mohd Asri bin Haji Muda
  • Raja Tun Mohar bin Raja Badiozaman
  • Haji Munawir Sjadzali
  • Tun Dato' Seri (Dr.) Haji Hamdan bin Sheikh Mohammad Tahir Jalaluddin
  • Prof. Di Raja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid
  • Tan Sri Dato' Seri (Dr.) Ahmad Sarji bin Abdul Hamid
  • Tan Sri Ainuddin bin Abdul Wahid
  • Datuk Dr. Ismail bin Ibrahim
  • Dato' Haji Hassan bin Azhari
  • Dato' Mursyid Di Raja Dato' Paduka Syeikh Abdul Majid bin Muhammad Noor
  • Dato' Dr. Abdul Halim bin Haji Ismail
  • Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady

Ulasan:

Terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan syabas kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia kerana mengambil inisiatif mendokumenkan biografi kesemua 16 Tokoh Ma'al Hijrah sebagai satu bahan rujukan di dalam satu buku. Ini merupakan satu usaha yang harus dipuji kerana saya pasti ramai di kalangan generasi Muslim di negara kita hari ini yang tidak mengetahui dan tidak mengenali tentang tokoh-tokoh ini yang seharusnya menjadi ikon generasi Muslim hari ini.

Kesemua tokoh yang dipilih oleh Kerajaan Malaysia untuk menerima anugerah dan pengiktirafan tertinggi bagi umat Islam ini sememangnya telah memberikan sumbangan bakti yang begitu besar kepada umat Islam dan agama Islam itu sendiri sama ada disedari atau tidak oleh masyarakat di negara ini. Maka, penerbitan Biografi Tokoh Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan: 1408-1426H / 1987-2005M ini mampu mewujudkan sedikit sebanyak kesedaran tentang tokoh-tokoh yang berjasa ini.

Melihat kepada nama-nama tokoh yang tersenarai, secara peribadi saya mengenali dengan dekat tiga orang daripadanya dan pernah bertemu kerana tugas dengan tiga yang lain. Apabila membaca biografi mereka ini, sememangnya wujud ketepatan dari segi maklumat yang disampaikan. Saya kira penulis-penulis yang dipilih memang tepat dengan setiap tokoh yang ada.

Namun demikian, ada satu perkara yang saya lihat sebagai kelemahan yang boleh diperbaiki. Pertama, disebabkan terdapat begitu ramai penulis, maka kualiti penulisan tidak konsisten. Ada penulisan yang berupa seperti kertas kerja ilmiah, ada yang berupa seperti penceritaan, ada pula yang tidak ubah seperti esei dan ada juga yang terasa seperti membaca makalah di dalam majalah. Justeru, saya kira peranan penyunting amat penting di sini untuk mewujudkan ketekalan atau konsistensi bagi buku rujukan penting seperti ini.

Sungguhpun demikian, ini hanyalah satu pemerhatian kecil sahaja. Bagi sesiapa yang berminat untuk mengetahui mengenai Tokoh-tokoh Ma'al Hijrah, inilah bukunya.


Penilaian: 3.5 bintang

Tariq: Menang ataupun Syahid


Penulis: Abdul Latip Talib
Penerbit: PTS Fortuna
Tahun: 2007
Halaman: 244
Harga: RM23.90 (Semenanjung Malaysia) / RM26.90 (Sabah dan Sarawak)
Genre: Sejarah, bukan fiksyen
Pengantar: Bahasa Malaysia


Sinopsis:

"...Seandainya pada hari ini kalian masih tetap sengsara seperti ini, tanpa adanya perubahan yang bererti, nescaya nama baik kalian pasti hilang, rasa gentar yang ada pada hati musuh pula berganti menjadi berani. Oleh itu, pertahankan jiwa kalian."
Tariq bin Ziyad

"Setiap orang yang berusaha meninggikan kalimah Islam boleh menggunakan segala yang ada padanya seperti harta benda, jiwa raga, pena (penulisan), dan lidah (berdakwah)."
Sayyid Abul 'Ala al-Maududi

"Penaklukan Sepanyol adalah perjuangan pertama dan terakhir yang paling sensasi bagi bangsa Arab. Mereka berjaya menakluki wilayah Eropah yang paling luar kepada kekuasaan Islam."
Phillip K. Hitti, seorang ahli Sejarah


Ulasan:

Telah lama saya dambakan buku seperti ini. Kisah sejarah Islam yang ditulis di dalam bentuk penceritaan novel. Saya kira ini adalah satu pendekatan yang sepatutnya telah lama dilakukan seperti penceritaan sirah Nabi di dalam Sirah Ibn Hisyam.

Membaca novel mengenai kepahlawanan Tariq bin Ziyad ini menyebabkan saya terasa seperti berada di ambang kejayaan Empayar Islam sampai ke benua Eropah menerusi Andalusia. Sememangnya kita banyak mengetahui tentang kemajuan yang dicapai oleh Tamadun Islam di Andalusia menerusi perkembangan ilmu pengetahuan di dalam pelbagai bidang, kemajuan sistem kesihatan, kehebatan sistem pentadbiran dan juga kepentingan institusi wakaf. Namun, mungkin ramai di antara kita yang terlupa tentang bagaimana semua ini telah bermula. Dan kisah yang dipaparkan di dalam Tariq: Menang ataupun Syahid menceritakan segala-galanya.

Saya dapat merasakan semangat jihad dan kekentalan iman di sanubari pejuang-pejuang Islam sewaktu membaca novel ini. Terfikir juga di dalam hati saya, andai kata Allah SWT takdirkan Tariq bin Ziyad tidak dipanggil kembali ke Damsyik oleh khalifah, adakah mungkin seluruh Eropah akan berada di bawah Islam? Dan jika ini berlaku, tidakkah ini bermakna sejarah Eropah dan dunia akan berubah, tidak seperti hari ini?

Hanya Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui.

Walau bagaimanapun, saya anjurkan agar novel Tariq: Menang ataupun Syahid ini dibaca oleh semua golongan masyarakat.


Penilaian: 4.5 bintang

Rabu, 12 September 2007

The Incredible Hulk: What Savage Beast


Penulis: Peter David
Penerbit: G.P. Putnam's Sons
Tahun: 1995
Halaman: 384
Harga: RM68.04 (USD19.95)
Genre: Fiksyen sains
Pengantar: Bahasa Inggeris


Sinopsis:

Dr. Robert Bruce Banner has led a life of endless struggling: struggling against the rampaging beast within that was spawned in the heart of a gamma bomb explosion; struggling with obsessed army officers like Major William Talbot, dedicated to hunting him down with fearsome weapons such as the new cybernetic Hulkbusters; struggling to provide his wife Betty with something akin to a normal life... a forbidden problem considering that Banner's intellect presently occupies the towering, hard-to-miss body of the Incredible Hulk.

The persecution by the army, combined with Betty's unexpected pregnancy, prompts Bruce to take desperate measures. An experimental operation may hold the key to the cure he has long sought. It is a chance he will gladly take, and one which actually seems to pay off, as he is transformed back to his human self.

But the risk may carry with it an unexpected high price, especially with the horrific secret of Betty's pregnancy revealed. It's a price that puts Bruce and Betty's offspring at risk, and plunges the Hulk into the most terrifying and daunting exploit of his life, struggling against his greatest foes to save himself, his family, and his very soul.

With guest appearances by every incarnation of the Hulk you can imagine, this is the fantastic new novel by the author who has written over 100 issues of the Hulk - an incredible warm-up for this, the Hulk's ultimate adventure.


Ulasan:

Ini bukan sebuah komik sebaliknya ini adalah sebuah novel. Walaupun novel ini menampilkan watak-watak dari komik The Incredible Hulk, pembaca sebenarnya tidak perlu membaca komik tersebut untuk memahami kisah ini. Ini kerana kisah yang dipaparkan di dalam novel The Incredible Hulk: What Savage Beast ini adalah kisah yang boleh berdiri tanpa perlu pemahaman yang mendalam tentang apa yang berlaku di dalam komik.

Novel ini sebenarnya saya beli kira-kira 12 tahun yang lalu. Baru-baru ini sewaktu mengemas rumah, saya terjumpa semula novel ini. Dan sebaik membacanya kembali, saya merasakan satu keseronokan apabila memasuki semula dunia The Incredible Hulk. Seperti yang saya pernah katakan dahulu, saya memang hantu komik dan penggemar tulisan Peter David. Unsur-unsur drama yang diselitkan di dalam kisah ini menyebabkan pembaca sukar untuk berhenti daripada membaca.

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang kisah ini. Sekadar ingin menarik perhatian kepada satu perkara. The Incredible Hulk adalah satu francais milik Marvel Comics. Daripada komik, watak ini telah tampil di dalam siri televisyen, permainan video, permainan patung aksi, filem cereka dan novel. Banyak lagi watak komik lain yang kini menjadi francais yang berjaya seperti Spider-Man, X-Men, Batman dan Superman.

Bayangkan jika industri penerbitan tempatan dapat menghasilkan francais seperti ini. Mungkin satu-satu watak itu bermula sebagai watak di dalam novel. Andai kata watak ini boleh difrancaiskan, bukan sahaja ia boleh muncul di dalam siri televisyen atau filem cereka, malah boleh merentas pelbagai medium lain. Kemungkinan ke arah ini sebenarnya tidak terbatas. Perkara yang diperlukan adalah kesungguhan dan iltizam, dan tidak kurang pentingnya adalah sokongan daripada masyarakat pembaca seperti kita.


Penilaian: 3.5 bintang

Isnin, 10 September 2007

Impian Palestin


Penulis: Randa Ghazy
Penterjemah: Nor Hasanuddin
Penerbit: Ar-Risalah Product Sdn Bhd
Tahun: 2007
Halaman: 261
Harga: RM14.90
Genre: Fiksyen
Pengantar: Bahasa Malaysia


Sinopsis:

Randa, gadis manis warganegara Itali berdarah Mesir yang baru berusia lima belas tahun ketika menyaksikan berita di kaca TV mengenai seorang kanak-kanak Palestin yang bernama Muhammad al-Durrah ditembak mati dengan sebutir peluru tentera Israel yang menembusi tubuh mungilnya. Hatinya betul-betul tersentuh akan apa yang dilihatnya itu. Dan Randa ternyata adalah seorang gadis yang mempunyai bakat sastera yang luar biasa.

Randa tidak dapat mempercayai apa yang disaksikannya itu. Dia betul-betul tidak tahu apa sesungguhnya yang terjadi di bumi Palestin selain melalui berita dan analisis yang diwar-warkan oleh media Barat. Dia tidak percaya bahawa apa yang tengah disaksikannya juga dilihat dan sampai ke telinga seluruh masyarakat dunia.

Dia merasa hairan dan keliru. Maka dia kemudian memutuskan untuk mencari kebenaran. Dia banyak bertanya kepada kedua ibu bapanya, membaca buku dan melayari internet untuk mencari hakikat sebenar yang terjadi di Palestin. Setelah mendapatkan pelbagai jawapan dan maklumat yang memuaskan rasa ingin tahunya, maka dia menulis sebuah cerpen yang kemudiannya memperoleh penghargaan kesusasteraan kanak-kanak di Itali.

Atas permintaan sebuah syarikat penerbitan di Itali, maka cerpen tersebut selanjutnya dijadikan sebuah novel yang sungguh menarik dan menakjubkan.

Ia mendapat sambutan ramai sehingga diulang cetak sebanyak tiga kali, dan mendapat ratusan komen dari para ahli. Novel ini diterjemahkan ke dalam berbagai bahasa di banyak negara sehingga menjadi satu novel fenomenal di kalangan masyarakat antarabangsa, meskipun Lobby Yahudi cuba menyekatnya kerana mereka tidak ingin dunia membaca, melihat atau mendengar kisah rakyat Palestin selain menurut perspektif mereka sendiri.


Ulasan:

Ikhlas, saya suka membaca kisah Impian Palestin ini. Kita sebenarnya terlalu jauh daripada hakikat kehidupan masyarakat Islam di Palestin. Mungkin ini menyebabkan kita sering lupa akan penderitaan yang mereka alami. Dan Impian Palestin mampu memberikan kita gambaran serba sedikit mengenai kehidupan di sana.

Bagi kita di Malaysia, kemerdekaan yang kita kecapi selama lima dekad ini sebenarnya sesuatu yang amat didamba oleh mereka di Palestin. Novel ini mampu mengundang rasa insaf bagi kita yang sudah merdeka ini. Betapa harga sebuah kemerdekaan itu tidak ternilai dek wang ringgit. Betapa perjuangan untuk mencapai kemerdekaan itu diwarnai oleh darah, keringat dan air mata. Betapa kita kini kerap alpa akan nikmat dan anugerah kemerdekaan yang sudah kita miliki ini.

Dari segi cerita, sememangnya kisah Impian Palestin ini lain daripada biasa. Ia menyentuh tentang jihad, pengorbanan, persahabatan, kesempitan hidup di dalam peperangan dan sebagainya. Tidak hairanlah novel ini mendapat sambutan hangat di peringkat antarabangsa. Membaca novel ini tidak langsung memberikan gambaran bahawa penulisnya hanyalah seorang gadis belasan tahun. Kisah yang digarapnya sungguh matang dan mampu meruntun jiwa.

Cuma saya sedikit kecewa dengan penterjemahan yang dilakukan. Ada ketikanya saya rasa seperti saya sedang membaca sebuah buku di dalam Bahasa Indonesia, dan ada ketikanya pula bahasa yang digunakan tidak "mengalir" dengan lancar. Banyak kesilapan nahu dan ejaan di sana sini. Bagi saya yang cerewet dengan perkara-perkara remeh seperti ini, kesilapan seperti ini sedikit sebanyak mengganggu proses penghayatan kisah ini. Mungkin penerbit boleh mengambil langkah untuk memperbaiki kelancaran penterjemahan yang dilakukan dengan menggunakan khidmat penterjemah dari Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) atau Akademi Bahasa di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Bagaimanapun, ini adalah satu novel yang baik dari segi mesej yang hendak diketengahkan. Membaca novel Impian Palestin pada waktu Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-50 memberikan satu peringatan kepada saya bahawasanya nilai sebuah kebebasan adalah terlalu tinggi untuk dipersia-siakan begitu sahaja. Saya syorkan novel ini untuk dibaca oleh semua khususnya golongan belia dan remaja.


Penilaian: 3.5 bintang

Rabu, 5 September 2007

The Cain Saga, Vol. 1: Forgotten Juliet


Penulis: Kaori Yuki
Artis: Kaori Yuki
Penterjemah: Akira Watanabe
Penerbit: VIZ Media, LLC
Tahun: 2006 (cetakan kedua)
Halaman: 192
Harga: RM30.66 (USD8.99)
Genre: Penyiasatan
Pengantar: Bahasa Inggeris


Sinopsis:

Delve into the tortured past of Earl Cain C. Hargreaves, charismatic heir to a wealthy family full of secrets, lies and unthinkable crimes. The prequel to the Godchild series, The Cain Saga follows the young Cain as he attempts to unravel the secrets of his birth, all the while solving each new mystery that comes his way.

Five gripping stories of love, friendship and betrayal - "Forgotten Juliet," "Branded Bibi," "The Youths Who Stopped Time," "Double," and "The Death of Cleo" - comprise this poignant first installment of Kaori Yuki's atmospheric epic.


Ulasan:

Inilah kali pertama saya membaca manga (perkataan Jepun untuk komik). Anak saudara saya adalah peminat manga, jadi sengaja saya cuba membaca untuk mengenal pasti daya tarikan yang ada pada manga. Oleh itu, semasa di Kinokuniya baru-baru ini, saya telah membeli The Cain Saga, Vol. 1: Forgotten Juliet ini. Seperti yang dinyatakan di dalam sinopsis, kisah ini adalah antologi lima kisah mengenai Earl Cain C. Hargreaves. Kisah "Forgotten Juliet" memperkenalkan protagonis utama kisah ini iaitu seorang yang amat meminati pelbagai jenis racun.

Saya sebenarnya sedikit kekok apabila mula membaca The Cain Saga, Vol. 1: Forgotten Juliet kerana perlu dibaca dari kanan ke kiri. Jika karya ini bertulisan jawi, saya tidak punya masalah tetapi apabila menggunakan tulisan rumi dan perlu dibaca dari kanan ke kiri, maka sedikit sebanyak ini memerlukan proses pembiasaan.

Membaca koleksi kisah Earl Cain C. Hargreaves ini, saya merasakan kehadiran unsur-unsur filem Barat. Malah, ini diakui sendiri oleh penulis menerusi nota-nota yang diselitkan di sana sini. Kisah Cain ini berlatarbelakangkan kota London pada kurun ke-19. Ini memberikan rasa deja-vu kepada pembaca yang biasa dengan kisah Sherlock Holmes. Imbasan-imbasan dan rujukan-rujukan kepada filem-filem atau drama-drama Barat juga dapat dirasakan, misalnya unsur-unsur misteri Twin Peaks dapat dilihat di dalam kisah "Branded Bibi" dan aura Dead Poets Society dapat dirasakan di dalam kisah "The Boys Who Stopped Time" (di kulit belakang ditulis sebagai "The Youths Who Stopped Time").

Saya kira saya masih memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan manga. Pun begitu, saya sedikit sebanyak tertarik dengan teknik penceritaan yang digunakan di dalam manga Jepun ini. Mungkin saya akan mendapatkan jilid kedua kisah mengenai Cain ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut rahsia keluarga protagonis penuh enigma ini.


Penilaian: 3 bintang

Isnin, 3 September 2007

Confessions of an Old Boy: The Dato' Hamid Adventures


Penulis: Kam Raslan
Penerbit: Marshall Cavendish Editions
Tahun: 2007
Halaman: 259
Harga: RM32.00
Genre: Fiksyen, humor
Pengantar: Bahasa Inggeris


Sinopsis:

Dato' Hamid - The Old Boy and civil servant who's been everywhere and seen it all (even though he never wanted to). Here he 'spills the beans' on his adventures dating back to the 1940s, from Kuala Lumpur to Monte Carlo, Los Angeles to Algiers, London to Temerloh Rest House and much more. Along the way, Dato' Hamid tussles with a beautiful seductress-cum-diamond thief; is corrupted by a ruthlessly ambitious banker; and helps solve the murder of a billionaire businessman. And all the time he wishes he were back at home tending his orchids and nursing is favourite cognac.

Shameless, exciting and funny, Dato' Hamid's life and adventures chart the financial, political and amorous relationships that have made Malaysia what it is today.


Ulasan:

Confessions of an Old Boy: The Dato' Hamid Adventures memang satu naskhah yang menggelikan hati. Lebih-lebih lagi jika pembaca dapat menghayati konteks kisah Dato' Hamid yang berkait rapat dengan pendidikan Inggeris, perkhidmatan awam pada zaman awal kemerdekaan dan lokasi-lokasi "eksotik" yang diketengahkan di dalam novel ini.

Kisah ini ditulis seolah-olah ia adalah memoir atau biografi Dato' Hamid. Pendekatan ini menyebabkan pembaca akan dapat menyelami isi hati, pemikiran dan perasaan watak fiksyen ini. Ayat-ayat yang sinis dan pedas serta padat dengan sindiran penuh satira merupakan pendekatan yang digunakan oleh Kam Raslan di dalam menghasilkan karya yang mendapat sambutan hangat pembaca di Malaysia ini. Bahasa yang digunakan adalah Bahasa Inggeris kolonial menyebabkan pembaca yang biasa tinggal di United Kingdom akan merasakan seperti sedang berinteraksi dengan orang British di sana. Malah, humor di dalam kisah ini juga mengingatkan saya kepada siri-siri komedi British seperti Blackadder, Yes Minister, One Foot in the Grave dan Fawlty Towers.

Walau bagaimanapun, naskhah ini bukan untuk semua orang terutama mereka yang mungkin sensitif dengan aspek-aspek tertentu. Kehidupan yang berdoktrinkan kolonial Inggeris akan menerapkan nilai-nilai yang bertentangan dengan norma budaya dan agama. Justeru, pembaca perlu mempunyai fikiran yang terbuka di dalam membaca naskhah Confessions of an Old Boy: The Dato' Hamid Adventures ini. Saya sendiri ada kalanya tersentak dengan beberapa aspek kehidupan yang diamalkan oleh watak Dato' Hamid ini. Hanya yang boleh saya katakan adalah yang baik kita jadikan teladan dan yang buruk kita jadikan sempadan.

Rasanya sesuai apabila saya menghabiskan naskhah ini pada waktu Malaysia menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-50. Setidak-tidaknya, usai membaca saya merasa bersyukur kerana fikrah dan minda saya tidak sama dengan Dato' Hamid yang pada hemat saya masih "terjajah" dengan sifat liberal yang berkiblatkan ke Barat.

Ya, suatu bacaan yang menarik dan kelakar. Tetapi jika Dato' Hamid ini watak yang benar-benar wujud, besar kemungkinan dia akan memanggil saya "The Ayatollah" kerana komen-komen saya di atas.


Penilaian: 3.5 bintang

Selasa, 21 Ogos 2007

As I Was Passing II


Penulis: Adibah Amin
Penerbit: MPH Publishing
Tahun: 2007 (cetakan kedua)
Halaman: 346
Harga: RM32.90
Genre: Bukan fiksyen, humor
Pengantar: Bahasa Inggeris


Sinopsis:

Adibah Amin, the celebrated chronicler of everyday Malaysiana, returns with more anecdotal essays that celebrate the Malaysian way of life. In As I Was Passing II, she is still doing what she does best: observing human nature with an assurance of touch and insight, laced with her signature wry humour and humanity.

Adibah is especially adept at observing and capturing the foibles and excesses of the human condition as well as the mundane stuff of everyday life, yet finding joy and humour in them. Her wit and lightness of touch, coupled with her concise, disciplined style, renders her anecdotes profound, with layers of complex thoughts in a few phrases. The wondrous real-life stories that she spins will engage and grip you with the clarity of her honesty and introspection.


Ulasan:

Seperti As I Was Passing yang telah diulas sebelum ini, As I Was Passing II juga merupakan koleksi esei-esei tulisan Adibah Amin yang pernah disiarkan di dalam akhbar-akhbar pada tahun 1970-an dan 1980-an. Sememangnya membaca buku ini akan mengembalikan nostalgia ke zaman tersebut. Betapa mudahnya kehidupan ketika itu apabila difikirkan kembali. Tetapi itulah sebenarnya zaman peralihan daripada era pertanian ke era perindustrian. Perubahan dan peralihan ini dapat dilihat menerusi esei-esei yang dikumpulkan di dalam buku ini.

Terdapat 105 artikel yang dihimpunkan di dalam jilid kali ini, dan setiap satu mampu mengundang senyum yang tidak dipaksa. Bagi sesiapa yang ingin memperbaiki penguasaan Bahasa Inggeris, saya syorkan buku tulisan Adibah Amin ini. Banyak yang boleh dipelajari daripada gaya penulisan beliau. Ada kalanya terbayang imej Cikgu Bedah daripada kisah "Adik Manja" (1980) ini.

Seperti As I Was Passing, saya ingin syorkan As I Was Passing II sebagai bacaan untuk semua orang.


Penilaian: 5 bintang

Sabtu, 11 Ogos 2007

Kasih Seharum Lavender


Penulis: Eita Ashyta
Penerbit: Kaki Novel Enterprise
Tahun: 2007 (cetakan keempat)
Halaman: 621
Harga: RM19.00
Genre: Fiksyen
Pengantar: Bahasa Malaysia


Sinopsis:

Pada suatu detik itu, dirinya mewah dengan kasih sayang. Dia punya Ummi yang penyayang, seorang abang yang prihatin dan Nurul Adlynn, teman akrab yang dikenalinya sewaktu di perantauan. Dia bahagia walaupun di sebalik itu, kesabarannya seringkali teruji dengan sikap majikannya, Ezany yang tidak pernah senang dengan kehadirannya. Perlian dan bicara sinis lelaki itu menjadi halwa telinganya setiap kali mereka bertemu. Hinggakan dia adakalanya lelah dengan situasi sebegitu!

Pertemuan dengan Tengku Hadif Zafran begitu unik. Terjadi di saat tidak terduga dan tidak mampu dibayangkan. Aneh! Tapi, mungkin itulah dikatakan takdir. Pertemuan demi pertemuan akhirnya membibitkan rasa. Bayu-bayu rindu mula menggamit sekeping hatinya buat lelaki itu. Cintakah itu yang datang mengetuk pintu hatinya?

Seperti menyedari sikap keterlaluannya selama ini, Ezany berubah sikap. Tanpa angin, tanpa ribut yang membawa sebarang petanda. Tutur kata dan bicaranya sudah tidak se'panas' dahulu. Lebih lembut dan gemar bergurau. Dalam diam, dia menyenangi perubahan lelaki itu. Walau di hati dia bimbang seandainya perubahan itu cuma sementara. Mungkinkah?

Belum sempat dia berpeluan melayan perasaan yang hadir, Ummi tiba-tiba sahaja ingin menjodohkan dia dengan Hadif. Dia terima biarpun pada mulanya dia gusar dan keliru. Mampukah dia menjalin bahagia hanya dengan rasa cinta tanpa mengenal lelaki itu terlebih dahulu?

Impian dan angan-angannya untuk hidup bersama Hadif berkecai apabila dia mendapat tahu Nurul Adlynn turut menaruh perasaan pada lelaki itu. Warna-warna kelukaan dan penderitaan mula mewarnai perjalanan hidupnya. Dia sendiri buntu. Dia tersepit antara kasih seorang sahabat setia, keinginan dan harapan seorang ibu yang melahirkannya dan antara cintanya sendiri yang mula berputik.

Dalam setiap keputusan, ada akibat yang perlu dihadapi. Lantaran kerana keputusan itu, dia hilang kasih sayang daripada seorang yang amat dekat di hatinya. Dia reda walaupun kecewa. Namun dia tetap berharap, suatu hari nanti kasih sayang itu akan hadir lagi dalam hidupnya.

Dan setelah hujan berlalu pergi, ternyata ada cahaya mentari yang menanti. Sayangnya, cahaya yang diharap berpanjangan itu, hadirnya sekejap cuma. Kehilangan insan yang paling bererti buat dirinya melontarkan dia ke pelusuk duka. Sekali lagi. Benarkah sekeping hati yang perlu dicari itu bukan Hadif pemiliknya? Mampukah kasih seharum lavender itu terus dia kecapi?


Ulasan:

Novel Kasih Seharum Lavender ini adalah di antara novel terawal yang saya beli sewaktu memulakan blog ini. Tetapi ianya adalah di antara yang akhir saya baca. Saya cuba beberapa kali untuk memulakan bacaan, namun bab-bab awal tidak begitu menggamit minat saya untuk terus membaca. Kisah berjumpa sahabat baik di luar negara yang disajikan dirasakan agak klise. Walau bagaimanapun, hanya apabila memasuki Bab 14, barulah minat untuk membaca sedikit memuncak apabila pembaca diperkenalkan dengan watak Ezany. Dan selepas itu, saya dapat meneruskan pembacaan novel ini dengan lebih konsisten kerana konflik yang diutarakan mula menampakkan rupanya.

Tidak perlu saya ulas panjang mengenai jalan cerita kerana sinopsis yang diberikan cukup menyeluruh untuk mendapat gambaran tentang kisah Kasih Seharum Lavender ini. Bagi saya, ini adalah satu lagi kisah cinta kompleks yang diadun dengan soal kasih keluarga, kesetiaan sahabat dan hubungan sesama insan. Tidak ada yang baru yang diketengahkan di dalam novel ini tetapi tidaklah bermakna kisah ini membosankan. Entah mengapa, bila saya baca kisah ini mengingatkan saya tentang nostalgia kisah drama keluarga yang pernah disiarkan di kaca televisyen seperti "Opah" dan "Anjang Aki."

Saya tertarik untuk membeli novel Kasih Seharum Lavender kerana kulit depannya yang memaparkan bunga lavender yang sinonim dengan Eropah. Ia mengingatkan saya kepada zaman saya menjadi anak dagang di Eropah lebih satu dekad yang lalu. Apapun, seperti yang saya pernah nyatakan sewaktu mengulas Ku Seru Kasihmu, Kaki Novel Enterprise mempunyai identiti tersendiri di dalam mempersembahkan novel-novel terbitannya. Kulit depan yang unik adalah satu daripadanya.

Cuma seperti juga yang saya nyatakan di dalam ulasan Ku Seru Kasihmu, satu masalah yang saya hadapi dengan novel terbitan Kaki Novel Enterprise adalah saiz aksara dan mata fon yang terlalu kecil untuk orang seperti saya. Wajar kiranya penerbit memberikan perhatian kepada perkara ini kerana tidak semua pembaca mempunyai penglihatan 20/20.

Apapun, saya kira novel Kasih Seharum Lavender secara keseluruhannya tidaklah mengecewakan. Tiada yang baru yang disajikan tetapi kesegaran kisahnya sudah cukup untuk menarik pembaca untuk membelinya.


Penilaian: 3 bintang

Rabu, 8 Ogos 2007

Pengembaraan Ibn Battutah: Pengembara Agung, Karya Terulung, Menyingkap Wajah Dunia


Penulis: Muhammad ibn Muhammad ibn Juzayy al-Kalbi (tidak dikreditkan di kulit hadapan)
Penterjemah: Syed Nurul Akla Syed Abdullah dan Adi Setia Mohd. Dom
Penyunting: Ismail Haji Ibrahim dan Wan Roslili Ab. Majid
Penerbit: Institut Kefahaman Islam Malaysia
Tahun: 2003
Halaman: 967
Harga: RM250
Genre: Bukan fiksyen, sejarah, pengembaraan
Pengantar: Bahasa Malaysia


Sinopsis:

Pada Jun 1325M., Ibn Battutah atau nama penuhnya Abu 'Abdillah Muhammad ibn 'Abdillah ibn Muhammad ibn Ibrahim al-Lawati, meninggalkan Tangier untuk menunaikan haji di Makkah. Di kota suci inilah, keinginan untuk mengembara tercetus dalam dirinya dan Ibn Battutah benar-benar menjadikannya suatu kenyataan. Beliau mengembara ke segenap pelosok dunia Islam yang luas bermula dari Afrika Utara hinggalah negeri China dan kemudian pulang ke negeri asalnya. Pengembaraan sejauh 120,000 kilometer merentas benua Afrika, Eropah dan Asia merupakan satu penjelajahan dunia terhebat yang memartabatkan Ibn Battutah sebagai tokoh pengembara paling terkemuka dalam sejarah. Setelah puas mengembara selama tiga dekad, Ibn Battutah akhirnya pulang ke Fez, Maghribi pada 1354M. dan di kota Fez inilah kisah beliau mula diabadikan.

Kisah panjang yang penuh dramatik ini akhirnya dirakam indah dalam sebuah karya Arab klasik berjudul Rihlah Ibn Battutah al-Musammah Tuhfah al-Nuzzar fi Ghara'ib al-Amsar wa 'Aja'ib al-Asfar. Penulisan karya ini dititahkan oleh Maulana Abu 'Inan, Sultan Maghribi daripada Bani Marin yang memerintah ketika itu berjaya disempurnakan oleh jurutulis baginda, Ibn Juzayy, sasterawan Andalus yang berasal dari Granada. Ibn Juzayy berusaha sepenuh daya, mengumpulkan catatan dan menulis kisah suka dan duka yang disampaikan oleh Ibn Battutah. Dalam penyampaiannya, Ibn Battutah jelas memperlihatkan kehebatan dalam teknik penceritaan yang menghiburkan. Sebagai hasilnya, lahirlah karya ini yang diperindah bahasa dan dimudahkan pendekatannya oleh Ibn Juzayy sehingga membolehkan pembaca memahami serta menghayati setiap kisah yang dipaparkan. Lebih penting lagi, wacananya tidak terpisah daripada tradisi kesejagatan sifat semula jadi manusia.

Karya ini disifatkan oleh sarjana sebagai kemuncak kecemerlangan penulisan genre sastera pengembaraan. Sesungguhnya, karya terjemahan Pengembaraan Ibn Battutah ini umpama jendela yang membolehkan khalayak pembaca melihat visual tamadun Islam yang dirakamkan dengan sedemikian hidup oleh Ibn Battutah. Ia amat kaya dengan maklumat tentang dunia wacana Islam, geografi, sejarah, antropologi dan juga budaya. Penterjemahan karya ini ke bahasa Melayu diharapkan dapat memberikan sumbangan yang bermakna dalam pemasyhuran serta penyebarluasan karya-karya klasik Islam dan pengayaan khazanah ilmu negara oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), khusus untuk tatapan masyarakat.


Ulasan:

Saya beruntung kerana memiliki cetakan pertama karya penterjemahan ini. Saya difahamkan bahawa karya ini sudah diulang cetak beberapa kali dan menjadi bestseller di kedai-kedai buku. Walaupun sudah memasuki tahun keempat karya ini berada di tangan saya, ini adalah satu karya yang saya tidak jemu-jemu mengulang baca. Kisah yang dipaparkan menerusi Pengembaraan Ibn Battutah: Pengembara Agung, Karya Terulung, Menyingkap Wajah Dunia sememangnya suatu yang amat unik untuk dibaca. Lupakan saja Marco Polo, Amerigo Vespucci, Christopher Columbus dan Vasco da Gama. Sesungguhnya umat Islam beruntung kerana dianugerahkan Allah SWT dengan seorang insan yang bernama Ibn Battutah.

Ibn Battutah tidak menulis sendiri karya ini, sebaliknya tugas penulisan dilakukan oleh Ibn Juzayy. Namun, membaca kisah-kisah yang tercatat di dalam karya ini memberikan peluang kepada kita yang hidup hampir 700 tahun selepas Ibn Battutah untuk "mengikuti" pengembaraannya yang menakjubkan. Bukan mudah menterjemahkan karya bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu tetapi nampaknya penterjemah-penterjemah dari Institut Kefahaman Islam Malaysia telah melakukan tugas yang baik. Bahasa yang digunakan begitu lancar dan mudah difahami tanpa menghilangkan aura dan persekitaran yang dicetuskan oleh Ibn Battutah di dalam pengkisahannya.

Saya berpandangan karya penterjemahan Pengembaraan Ibn Battutah: Pengembara Agung, Karya Terulung, Menyingkap Wajah Dunia ini perlu dibaca oleh generasi Muslim hari ini. Harganya mungkin mahal tetapi pengalaman membacanya amat berbaloi dan memuaskan.


Penilaian: 5 bintang

Rabu, 1 Ogos 2007

Infinite Crisis


Penulis: Geoff Johns
Artis (pensil): Phil Jiminez, George Perez, Jerry Ordway dan Ivan Reis
Artis (dakwat): Andy Lanning, Oclair Albert, Marlo Alquiza, Marc Campos, Wayne Faucher, Drew Geraci, Jerry Ordway, Jimmy Palmiotti, Sean Parsons, George Perez, Norm Rapmund, Ivan Reis, Lary Stucker dan Art Thibert
Artis (warna): Jeremy Cox, Guy Major, Rod Reis, Tanya Horie dan Richard Horie
Penerbit: DC Comics
Tahun: 2006
Halaman: Tidak dinyatakan
Harga: RM85.22 (USD24.99)
Genre: Fiksyen sains, fantasi
Pengantar: Bahasa Inggeris


Sinopsis:

It is the DC Universe's darkest day... OMAC robots are rampaging, magic is dying, villains are uniting, and a war is raging in space. And in the middle of it all, a critical moment has divided Earth's three greatest heroes: Superman, Batman, and Wonder Woman. But long-lost heroes from the past have returned to make things right in the universe... at any cost. Heroes will live, heroes will die, and the DCU will never be the same again!


Ulasan:

Satu lagi ulasan komik daripada saya kali ini terbitan DC Comics. Infinite Crisis mengumpulkan tujuh edisi siri komik dengan tajuk yang sama yang diterbitkan pada tahun 2005 dan 2006. Bagi sesiapa yang mengikuti komik adi wira terbitan DC Comics pasti mengetahui signifikan kisah Infinite Crisis ini.

Infinite Crisis adalah kesinambungan kepada beberapa "kejadian" penting bagi watak-watak di dalam DC Comics. Kejadian-kejadian ini juga telah dikumpulkan menjadi novel grafik seperti The OMAC Project, Day of Vengeance, Rann-Thanagar War, Villains United dan JLA: Crisis of Conscience. Tidak perlu bimbang jika tidak mengikuti kisah-kisah ini kerana ringkasannya ada diberikan di dalam bentuk imbas semula oleh Alexander Luthor di dalam Infinite Crisis ini.

Perkara yang menarik saya untuk membaca kisah ini adalah kerana saya meminati Crisis on Infinite Earths yang telah diterbitkan kira-kira 20 tahun yang lalu. Kisah Infinite Crisis ini sebenarnya adalah kesinambungan kepada kisah Crisis on Infinite Earths. Beberapa watak yang tidak pernah dilihat semenjak Crisis on Infinite Earths telah kembali di dalam Infinite Crisis.

Dari segi cerita, bagi seorang peminat komik seperti saya, Infinite Crisis memang memberikan kepuasan. Saya amat gemar dengan kisah yang memuatkan pelbagai watak di dalam satu buku. Justeru, dari sudut ini Infinite Crisis berjaya menggunakan beratus-ratus watak DC Comics dengan baik dan berkesan.

Cuma yang saya sedikit kecewa dengan kisah ini adalah ianya menjadi titik tolak kepada kembalinya konsep multiverse yang amat mengelirukan pembaca. Pengikut DC Comics pasti maklum bahawa tujuan Crisis on Infinite Earths diketengahkan adalah untuk mewujudkan satu universe yang seragam untuk semua watak DC Comics bagi mengelakkan kecelaruan kepada pembaca. Tetapi nampaknya selepas 20 tahun, DC Comics merasakan ada keperluan untuk kembali kepada konsep multiverse walaupun ianya lebih terkawal. Pun begitu, kisah mengenai kewujudan multiverse ini hanya disentuh dengan lebih terperinci di dalam kisah lain iaitu 52.


Penilaian: 3.5 bintang